Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kitingan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pertanian Sabah dengan Sawit Kinabalu Sdn Bhd, yang akan bekerjasama dalam pembangunan industri nanas di Sabah. Foto: TVS

Pertimbang peruntukan RM50 juta untuk naik taraf pusat penyelidikan pertanian di Sabah

SANDAKAN, 25 Sept : Kerajaan Sabah diminta mempertimbangkan dana sebanyak RM50 juta bagi tujuan menaik taraf pusat penyelidikan pertanian di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, berkata pusat seumpamanya terbukti telah menghasilkan beberapa spesies dan teknologi baharu berasaskan tumbuh-tumbuhan yang boleh dikomersialkan.

Ia termasuk pelancaran terbaharu melibatkan spesies nanas ‘Sabah Volcanic Sweet-1’ dan spesies tuhau ‘LSTu-1’ serta teknologi penghasilan bahan tanaman nanas secara kultur tisu.

“Kita tidak mahu bergantung kepada penyelidikan dari luar untuk mengkaji tumbuh-tumbuhan tempatan.

“Berikutan itu, kita perlu menaik taraf dan menambah baik kemudahan di beberapa pusat penyelidikan pertanian di Sabah.

“Saya berharap kerajaan negeri Sabah mempertimbangkan keperluan dana sebanyak RM50 juta untuk tujuan ini kerana ia juga demi kebaikan sekuriti makanan serta penghasilan lebih banyak produk komersial berasaskan tumbuh-tumbuhan,” kata Kitingan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan Pusat Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun di Sandakan pada Sabtu.

Pada majlis itu, Kitingan, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pertanian Sabah dengan Sawit Kinabalu Sdn Bhd (SKSB), yang akan bekerjasama dalam pembangunan industri nanas di Sabah.

Kerjasama itu melibatkan pemindahan teknologi protokol kultur tisu tanaman nanas yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Sabah kepada SKSB selain kerjasama dalam pembanguan tanaman nanas secara komersial yang dilaksanakan oleh SKSB.

“Oleh itu, saya berharap lebih ramai pelabur, tidak kira pihak swasta, kerajaan ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tampil untuk bekerjasama dengan pusat penyelidikan pertanian di bawah Jabatan Pertanian Sabah.

“Saya percaya masih banyak lagi penyelidikan pembangunan berasaskan tanaman tempatan yang boleh diterokai dan dikomersialkan secara bersama,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan