LUNDU, 24 Sept : Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mahu laporan terperinci ekoran tidak mencapai sasaran 44 pingat emas ditetapkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang berakhir malam ini.
Abdul Karim berkata, perkara itu perlu dilakukan segera untuk melihat kelemahan persatuan sukan.
Kata Abdul Karim, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan persatuan – persatuan sukan terlibat sebelum menetapkan sasaran berkenaan.
“Apabila ditanya, mereka (persatuan) kata semuanya bagus.
“Kadang kala, apa yang diceritakan mereka memang bagus namun apabila tiba masanya, baharu sedar mereka tidak capai sasaran.
“Mereka yang sudah lama dalam persatuan namun tidak membuahkan apa – apa hasil perlu digugurkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Regatta Batang Kayan 2022 di sini semalam.
Setakat pukul 5 petang tadi, kontinjen Sarawak meraih 32 pingat emas dan menduduki tempat keempat.
Abdul Karim berkata, perbincangan dan siasatan akan diadakan secara tertutup selepas kumpulan atlet berkenaan kembali ke Sarawak.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh atlet Sarawak namun perlu melihat peningkatan yang ditunjukkan kontinjen lain seperti Johor yang hampir ditabalkan sebagai juara SUKMA edisi kali ini.
“Kita ingin tahu ramuan kejayaan mereka (Johor),” katanya. -TVS