BINTULU, 23 Sept : Penduduk di Rumah Panjang Semail, Simpang Bakun, dekat sini berdepan detik cemas apabila berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang kediaman mereka, lewat Rabu lepas.
Kejadian itu menyebabkan satu pintu di rumah panjang berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur dan tandas.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bintulu, Leftenan Rai’idah Jomi berkata, hasil pemantauan pihaknya di tempat kejadian mendapati pergerakan tanah di situ masih tidak stabil.
“Susulan itu penduduk di pintu yang berkemungkinan terjejas telah dinasihatkan supaya berpindah buat sementara waktu,” katanya kepada TVS semalam.
Sementara itu, seorang mangsa, Angela Bija yang baharu bersalin tiga minggu lepas berkata, dia merupakan orang pertama yang menyedari kejadian itu.
Katanya, ketika itu dia yang keluar dari tandas mendengar bunyi bising di bahagian atap rumah.
“Pada mulanya saya mengabaikan bunyi itu dan apabila sampai di bilik, bunyi semakin kuat dan ingatkan berlaku pergaduhan,” katanya.
Menurut Angela, suaminya yang memeriksa di bahagian dapur menyedari runtuhan tanah telah merosakkan dinding dapur mereka.
“Suami menjerit meminta kami sekeluarga menyelamatkan diri,” katanya. – TVS