KUALA LUMPUR, 21 Sept : Sarawak berjaya mengumpul 15 emas, 19 perak dan 27 gangsa selepas enam hari atletnya bertarung di gelanggang Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20.
Semalam, Ibu Pertiwiku berkumandang sebanyak empat kali di sekitar Lembah Klang selepas skuasy, terjun, renang dan boling memberikan kilauan emas kepada Bumi Kenyalang.
Hari ini tumpuan pastinya terarah kepada juara remaja dunia, Mohammad Johan Ghazali Zulfikar yang akan membuat perhitungan emas acara 60 kilogram (kg) muay thai.
Mohammad Johan Ghazali bakal berdepan halangan terakhirnya, Wan Muhammad Sabri Wan Mohd Zaki dari Melaka di South City Mall pukul dua petang ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang kini berada di ibu negara dijangka akan hadir memberi sokongan kepada Mohammad Johan Ghazali.
Selain itu, Sarawak turut berpeluang menambah sebutir emas lagi acara berkenaan apabila atletnya juga berjaya mara ke final bagi kategori 63 kg.
Pasukan boling yang cemerlang dengan tiga emas setakat ini juga akan turun ke Pusat Boling Megalanes, Bandar Sunway untuk acara berpasukan lelaki dan wanita sekaligus mengintai peluang untuk mencapai sasaran lima emas ditetapkan.
Prospek emas Sarawak hari ini juga dijangka akan hadir menerusi acara renang dan terjun yang berlangsung di Bukit Jalil. -TVS