KUALA LUMPUR, 21 Sept : Pemenang pingat emas Muay Thai Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mendedikasikan kejayaannya kepada semua rakyat Sarawak.
Muhammad Johan menerusi Instagramnya menulis penghargaan istimewa itu selepas dikalungkan pingat emas kategori 60 kilogram (kg).
“Terima kasih atas sokongan anda semua.
“Pingat emas ini untuk semua rakan – rakan saya di Sarawak dan penyokong,” tulisnya.
Pada pertandingan akhir di South City Plaza petang tadi, Muhammad Johan Ghazali yang juga juara remaja dunia mudah menewaskan peserta Melaka, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki menerusi pukulan knockout (ko).
Gangsa acara berkenaan itu masing – masing dikongsi oleh Riedzwan Norsyahmie Daud dari Sabah dan atlet Wilayah Persekutuan, Hatem Rumijim.
Sementara itu, seorang lagi atlet Sarawak, T. Kabilan Jelevan menyumbang pingat gangsa kategori 67 kg. -TVS