MIRI, 20 Sept : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak (DOPPA) telah mengadakan sesi libat urus dalam usaha mengeratkan kerjasama di dalam industri perladangan sawit.
Pertemuan ini juga membolehkan pihak persatuan di sektor sawit untuk mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini terutamanya isu berhubung tenaga kerja asing.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, menyedari kebergantungan industri perladangan sawit terhadap tenaga kerja asing boleh menjejaskan pengeluaran hasil.
“Kementerian menyedari kebergantungan yang berterusan kepada pekerja asing boleh menjejaskan sektor perladangan sawit untuk tempoh jangka masa panjang.
“Oleh itu, KPPK menggalakkan pemain industri dan pekebun kecil untuk mengoptimumkan penggunaan jentera di ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam sidang media sempena Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2022 yang dianjurkan MPOB di sini, hari ini.
Ujarnya juga, penggunaan mekanisasi di sektor perladangan amat digalakkan bagi menangani isu kekurangan buruh yang berlaku sekarang.
“Ini selaras dengan pelancaran Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) pada November 2021, bagi menggalakkan penggunaan mekanisasi di sektor perladangan serta menangani isu kekurangan buruh.
“Penubuhan MARCOP ini juga bakal meningkatkan aktiviti penyelidikan mekanisasi dan automasi di sektor perladangan sawit,” katanya lagi.
Didapati purata kekurangan pekerja di sektor perladangan sawit adalah anggaran sebanyak 54,1980 orang di mana 53.4% (28,940) di bawah kategori kerja penuaian dan pemungutan buah tandan segar (BTS) antara tempoh Januari ke Mei 2022.
Beliau berharap kerjasama erat yang berterusan dengan pemegang taruh di Sarawak akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri sawit negara dan sekali gus dapat memenuhi keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada kemampanan industri sawit negara. – TVS