KUCHING, 20 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. Nagabhushana Reddy, pada hari ini.
Menurut Nagabhushana, India berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak, terutamanya dalam pendigitalan.
Menyedari tentang potensi yang ada pada Sarawak, mereka juga berbesar hati untuk menawarkan tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.
“Dalam menentukan keutamaan, saya melihat bahawa ini adalah hasrat Kerajaan Sarawak, untuk mengubah secara digital seluruh ekonomi, yang menjadi nadi transformasi digital ini, sama ada ia adalah pembangunan, contohnya dalam sektor tenaga, sektor minyak dan gas, mahupun pembangunan dalam berbagai sektor lain.
“Apa yang anda panggil sektor sosial, di mana digital akan memainkan peranan yang sangat signifikan,” kata Nagabhushana.
Dalam pada itu, kerajaan India juga giat menjalankan inisiatif untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong India ke Sarawak kerana, menurutnya, jumlah tersebut dilihat masih agak rendah.
Turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Selasa adalah Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar.
Tujuan kunjungan hormat itu diadakan adalah untuk mengetengahkan beberapa usaha bagi meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, terutamanya dalam pembangunan.
“Tumpuan yang saya berikan kepada Yang Berhormat Datuk Patinggi ialah melihat kepada pembangunan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar seperti di Lawas, Ba’kelalan, di Kapit dan juga kemudahan-kemudahan kesihatan, terutama sekali kawasan luar bandar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar di Sarawak,” ujar Amir.
Selain itu, perwakilan daripada Sarawak Media Group Sdn Bhd turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak pada petang tadi. – TVS