Justeru itu, Korea Selatan menyasarkan menjelang 2035 separuh daripada kenderaan baharu terdiri kenderaan Tahap Empat.
Menurut kenyataan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan pada tahun ini Korea Selatan menyasarkan menjadi negara ketiga di dunia yang mengkomersialkan kenderaan autonomi Tahap Tiga selepas Amerika Syarikat dan Jepun,
“Untuk mencapai matlamat itu, kerajaan akan merombak sistem pengangkutan sedia ada, dan menetapkan dasar keselamatan dan program insurans untuk turut menyediakan perkhidmatan bas autonomi Tahap Empat (menjelang 2027),” menurut kenyataan itu.
Hyundai Mobis Co., sekutu utama Hyundai Motor Group, memperkenalkan teknologi pandu sendiri Tahap Empat dalam konsep M.VISION di Pameran Elektronik Pengguna (CES) pada Januari 2020.
Pada Tahap Empat, kenderaan mempunyai teknologi pandu sendiri yang terhad manakala Tahap Lima, ciri pemanduan automatik boleh berfungsi dalam semua keadaan.
Untuk menyokong rancangan itu, kementerian berkenaan akan mewujudkan sistem telekomunikasi masa nyata meliputi 110,000 kilometer (km) jalan raya menjelang 2030.
Korea Selatan juga berhasrat untuk mengkomersialkan perkhidmatan urban air mobility (UAM)di kawasan metropolitan pada 2025.
Tiga syarikat — SK Telecom Co., KT Corp. dan LG Uplus Corp. — memaklumkan akan menyertai program untuk menguji keselamatan kenderaan UAM dan keupayaan pengurusan trafik bagi perkhidmatan komersial.
UAM ialah projek mega untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.
Morgan Stanley meramalkan pasaran UAM global akan berkembang sehingga US$1.47 trilion menjelang 2040, melonjak daripada US$7 bilion pada 2020. -TVS