KUCHING, 17 Sept: Jet ski milik mangsa yang hilang di perairan laut Pulau Talang-Talang Besar dijumpai di kawasan Tanjung Sipang, Santubong pada kira – kira pukul 5.30 petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penemuan jet ski milik Lee Chong Loong dimaklumkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 8.30 malam tadi.
Artikel berkaitan: Lelaki hilang di Pulau Talang – Talang Besar ketika pandu uji jet ski
Perkembangan terbaharu ini dijangka akan ‘mengecilkan’ kawasan operasi pencarian mangsa yang sebelum ini membabitkan kawasan seluas lebih 100 batu nautika persegi di sekitar perairan pulau itu.
Menurut JBPM, Pasukan Bomba dan Penyelamat (BPP) Petra Jaya dan pasukan SWART akan mengambil alih misi pencarian esok pagi.
Kehilangan Chong Loong disedari oleh rakannya ketika dalam perjalanan menuju ke Jeti Pak Amit, Santubong petang semalam.
Sebelum kejadian kedua-dua mereka difahamkan sedang menguji jet ski sambil memancing di perairan Telok Melano sehingga ke Pulang Talang-Talang Besar.
JBPM akan mewujudkan Pos Kawalan Bomba (PKB) bersama APMM di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Santubong esok. -TVS