BINTULU, 16 Sept : Bandar ini telah mengalami perkembangan pesat dari sebuah perkampungan nelayan yang kecil kepada hab perindustrian, perniagaan dan pelancongan pada masa kini, kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, Bintulu diyakini mempunyai masa depan yang cerah berdasarkan potensi dimiliki.
“Kini Bintulu didiamai oleh seramai kira-kira 235,099 penduduk berdasarkan statistik 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Pertumbuhan perindustrian di Kidurong, Tanjung Batu yang diperluaskan ke Samalaju serta pertumbuhan perniagaan di sini turut memberi manfaat kepada usaha menarik pelabur luar untuk melabur di Malaysia dan seterusnya di Sarawak,”katanya.
Beliau yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab ke atas Perayaan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan di Lasar Kenyalang di sini malam ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan dua timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Stephen Rundi berkata, perkembangan di Bintulu juga dipacu oleh inisiatif Kerajaan Sarawak yang melaksanakan banyak pembangunan untuk mengubah Bintulu menjadi bandar baharu.
“Antaranya pembinaaan jalan persisir di negeri ini dan pembinaan jambatan ikonik (terbaharu) di Kemena yang menjadi mercu tanda baharu Bintulu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembangunan rancak di sini tidak hanya fokus kepada sektor perindustrian dan perniagaan malahan melibatkan lokasi yang strategik kerana berada di tengah Sarawak.
“Apabila kita melihat Empangan Hidroelektrik Bakun, Murum dan Baleh, kita mempunyai tenaga mencukupi untuk membantu menarik pelaburan dari luar sekali gus membawa lebih banyak keuntungan masuk ke negeri ini,”katanya.
Tambah beliau, Bintulu turut menjana pembangunan secara besar-besaran kerana mempunyai lapangan terbang, dua pelabuhan laut dalam iaitu Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Perindustrian Samalaju. -TVS.