KUCHING, 16 Sept : Kontinjen Sarawak yakin untuk menempatkan diri dalam kelompok lima teratas kutipan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan negeri, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, sekiranya momentum pungutan pingat konsisten, beliau yakin Sarawak dapat memberi saingan sengit kepada kontinjen lain termasuklah kuasa besar SUKMA.
“Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, saya berharap ianya dapat meniup semangat para atlet kita untuk menampilkan prestasi terbaik dan membutirkan pingat,”katanya menerusi sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Gerald memaklumkan,Sarawak telah membuat laporan kepada penganjur berhubung beberapa berbangkit.
“Pihak kementerian menerima rungutan daripada atlet mengenai tempat penginapan, makanan yang agak pedas dan sebagainya.
“Jadi, saya telah membuat laporan kepada penganjur mengenai perkara ini dan berharap dapat diselesaikan segera,”katanya. -TVS