KUCHING, 16 Sept : Pelbagai cara dilakukan oleh penggiat seni untuk memartabatkan budaya.
Bagi penghibur jalanan, selain menyanyi dan memakai kostum untuk menghiburkan orang ramai dan meraih pendapatan, kemahiran bermain alat muzik juga merupakan kelebihan yang dimanfaatkan.
Di Waterfront Kuching, komuniti kecil pemuzik sape merupakan antara seniman jalanan yang menarik perhatian orang ramai.
Salah seorangnya ialah Desmond Junek yang sudah ‘membuat persembahan’ selama hampir 14 tahun di sini dengan menggayakan busana Orang Ulu.
Mengakui pendapatan yang diperoleh hanya sekadar cukup makan, Desmond tetap bersyukur kerana dapat membanting tulang di sebalik tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.
“Semuanya bermula dengan niat dan semangat. Kalau rasa sakit, kena lawan.
“Dahulu, saya tidak boleh bangun namun bila fikirkan anak dan isteri yang perlu diberi nafkah, saya kuatkan diri untuk bekerja,”katanya kepada TVS.
Desmond yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan bekas pesakit kanser otak berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia juga ingin menyumbang kepada usaha memartabatkan budaya Sarawak dan sape menjadi pilihannya.
“Muzik sape mempunyai daya tarikan tersendiri selain sebagai lambang perpaduan.
“Apabila bermain sape di sini, saya perhatikan rakyat pelbagai bangsa akan berhenti dan menikmati persembahan saya kerana mereka tertarik dengan muzik asli Sarawak ini,”katanya.
Desmond juga percaya menerusi alunan muzik sape, dia boleh menyatukan rakyat yang melihat persembahannya.
Turut senada, Sylvester Cathrine, anak muda berusia 23 tahun yang juga seorang pemain sape jalanan di Waterfont, Kuching.
Menurutnya, alunan indah muzik sape mampu memberi ketenangan kepada pendengar.
“Ya mungkin akan ada yang memandang rendah kepada pemuzik jalanan namun saya lebih suka berfikiran positif.
“Terbit kepuasan apabila lihat rakyat berbilang kaum meluangkan masa melihat saya bermain sape,”katanya. -TVS