KUCHING,15 Sept : Bergelar penghibur jalanan bukanlah perkara mudah lebih – lebih lagi kumpulan ini masih berdepan stigma segelintir masyarakat yang memandang rendah ‘kerjaya’ mereka.
Namun begitu, demi minat untuk menghiburkan orang ramai,sekumpulan penghibur jalanan yang memakai kostum adiwira di sekitar Waterfront Kuching meneruskan ‘kelana’ mereka di jalanan.
Sempena sambutan Hari Malaysia esok,TVS mendekati beberapa penghibur jalanan untuk menyelami isi hati mereka ‘berkarya’ di negara bertuah ini.
Joe Johari,34, berkata, sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, dia bebas untuk menentukan pekerjaan yang ingin diceburinya.
Joe berkata, minat untuk menghiburkan kanak-kanak mendorongnya untuk melakukan pekerjaan itu walaupun pendapatannya tidak seberapa.
“Satu kepuasan apabila tengok kanak – kanak gembira melihat saya memakai kostum.
“Bukan sebab wang kerana jujur saya katakan, pendapatan tidak menentu, kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada,bergantung kepada rezeki.
“Bagi saya, sekiranya timbul minat untuk melakukan sesuatu, pasti kita akan bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan apa yang orang sekeliling fikir,”katanya.
Turut senada dengan Joe ialah Mazlan Suhaimi, 40, yang memperagakan kostum superhero Spiderman untuk menghiburkan orang awam.
Kata Mazlan, kebebasan memilih pekerjaan tidak seharusnya berteraskan wang ringgit namun perlu ‘diiringi’ seberapa banyak ilmu yang boleh diperoleh dalam pekerjaan tersebut.
“Kita bebas untuk menentukan pekerjaan masing – masing namun jangan memilih sebab tidak akan dapat ilmu kalau memandang wang ringgit semata-mata,”katanya.
Namun di sebalik watak dan kostum yang disarungkan itu, tersimpan sekelumit rasa terkilan tentang pandangan segelintir masayarakat terhadap penghibur jalanan.
Ada yang melihat mereka seperti peminta sedekah dan akui Mazlan,pandangan itu amat melukakan.
“Ada yang memandang hina kerana mereka tidak merasai kesusahan hidup dan sebab itulah tergamak untuk menghina orang macam kami,”katanya.
Justeru itu, sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Mazlan berharap agar masyarakat akan menghormati antara satu sama lain.
“Saya juga harap hubungan rakyat lebih akrab lagi demi perpaduan,”katanya. -TVS