BINTULU, 15 Sept : Pengertian Hari Malaysia perlu dihayati semua rakyat agar perpaduan Keluarga Malaysia sentiasa kukuh.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, tanggal 16 September 1963 perlu sentiasa disemat dan diraikan setiap tahun kerana ianya merupakan detik penyatuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak.
“Hari Malaysia yang diraikan setiap tahun bukanlah hanya sekadar sambutan tapi ianya merupakan satu detik yang bersejarah yang harus dikenang dan dihayati oleh setiap warga Sarawak dan Malaysia.
“Ini kerana tarikh berkenaan membawa kepada penubuhan sebuah negara berdaulat bernama Malaysia,”katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas hadir sesi raptai penuh Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Lasar Kenyalang, Bintulu, semalam.
Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Nengeri (ADUN) Demak Laut berkata, beliau percaya sambutan Hari Malaysia pada tahun ini akan lebih meriah berikutan akan berlangsung secara fizikal selain orang ramai turut dijemput memeriahkan acara.
“Selepas dua tahun kita sambut Hari Malaysia dengan mengamalkan norma baharu, tahun ini kemeriahan kembali dengan pelbagai pengisian.
“Apa yang saya perhatikan, segala persiapan berjalan lancar dan harap sambutan pada Jumaat ini akan dihadiri ribuan rakyat di kawasan ini,” katanya. -TVS