MIRI, 14 Sept : Kerajaan Sarawak kini dalam proses membina loji hidrogen berskala besar yang menjadi bukti jelas negeri ini serius melangkah ke arah ekonomi berasaskan sektor tenaga boleh diperbaharui.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata,langkah berkenaan selaras dengan hasrat Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu negeri ini memanfaatkan sektor hidrogen sebagai sumber pendapatan negeri.
“Setakat ini kita telah menyediakan loji perintis di Kuching yang telah menghasilkan tenaga hidrogen bagi kegunaan tiga bas yang dilancarkan oleh kerajaan negeri.
“Kita juga sedang dalam proses untuk mendapatkan tapak loji yang seterusnya untuk penghasilan tenaga berkenaan bagi tujuan eksport,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (ISOSH) 2022 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sarjana Pendidikan Perubatan Hospital Miri (PGMESH) dan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Umum Sarawak (OSHAS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kim Shin berkata, peralihan yang sedang dilakukan oleh Sarawak juga selaras dengan langkah masyarakat global yang mula menggunakan tenaga alternatif termasuk hidrogen untuk menangani isu perubahan iklim.
“Saya pasti kepada mereka yang sedar, sekarang kita semua bimbang dengan perubahan iklim.
“Maka, kita lihat pada tenaga alternatif yang dapat membantu mengurangkan kesan pelepasan rumah hijau dan lain-lain.
“Hidrogen merupakan sumber tenaga yang mana di Sarawak, kita menghasilkan hidrogen hijau manakala kebanyakan negara barat menghasilkan hidrogen biru yang berasakan sektor industri manakala yang kita hasilkan pula berpunca sumber air,” katanya.
Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menggunakan pengangkutan awam bas dipacu tenaga hidrogen yang dilancarkan pada 21 Januari 2020 untuk kegunaan orang awam di Kuching. – TVS