BINTULU, 14 Sept : Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak 2022 di sini pada Jumaat ini dilihat akan membantu usaha mempromosi Bintulu sebagai hab industri.
Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan sangat tepat kerana bandar ini sudah berkembang menjadi kawasan industri minyak dan gas terbesar di Malaysia.
“Kita lihat perubahan sekarang, jika dahulu Bintulu hanya sebuah perkampungan nelayan namun kini sudah berubah menjadi hab industri, gas asli cecair (LNG) dan mempunyai pelabuhan besar di sini.
“Oleh itu, kita perlu mempromosikan Bintulu dan Sarawak bagi membolehkan orang luar datang untuk meneroka negeri ini yang semakin berkembang pesat,”katanya kepada TVS di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wilson Ugak juga meluahkan rasa gembira kerana sambutan Hari Malaysia tahun ini dianjurkan secara fizikal setelah lebih dua tahun tidak diadakan secara besar-besaran susulan pandemik COVID-19.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar rakyat Sarawak memahami erti sebenar Hari Malaysia yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
“Tanggal 16 September harus diraikan secara besar-besaran kerana apabila kita membentuk Malaysia,Sarawak tidak lagi dijajah oleh British kerana kita memerintah sendiri,”katanya. -TVS