Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Datuk Abdul Aziz Bakar berkata tanggungjawab mempertahankan negara itu bukan terletak pada bahu generasi tertentu semata-mata, sebaliknya usaha itu perlu berterusan daripada satu generasi kepada generasi lain supaya negara kekal selamat.
“Perlu ada kesinambungan bagi memastikan negara kita ini kekal bebas dan keselamatan serta ketenteraman itu tidak diganggu-gugat seperti dahulu, jadi generasi muda perlu meneruskan kesinambungan apa yang telah kami, generasi dahulu lakukan bagi pertahankan negara.
“Ini amanat kami semua untuk disampaikan kepada generasi muda, juga kepada pegawai polis dan anggota keselamatan generasi kini teruskan usaha ini untuk menjaga negara kita, jangan sekali-kali gentar,” katanya kepada Bernama ketika melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran di sini baru-baru ini.
Abdul Aziz, 74, berkata banyak perbezaan Sabah pada masa kini dan ketika beliau bertugas di negeri ini sekitar 1970-an, bagaimanapun ketika berdepan pelbagai kekurangan ketika itu tidak mematahkan semangatnya bersama rakan-rakan untuk menjaga keselamatan negeri ini.
“Kami wira tidak didendang dan kami lakukan dengan sepenuh hati kerana kami tahu ini penting untuk generasi muda terutama anak Sabah sekarang, dengan apa kami korbankan syukur Sabah ketika ini banyak berbeza (dari segi) pembangunan dan kehidupan rakyatnya,” katanya yang bertugas selama 35 tahun bersama PDRM.
Beliau berkata merdeka mempunyai pelbagai makna antaranya bebas daripada penjajahan, namun baginya merdeka telah memberi banyak peluang kepada rakyat di Sabah dan seluruh negara untuk memajukan diri mereka serta negara.
“Peluang ini bukan mudah kami dapatkan untuk generasi muda sekarang terutama peluang pendidikan, jadi jangan sia-siakan apa yang kami usahakan ini, berusaha bersungguh-sungguh dan raih peluang yang ada,” katanya yang berasal dari Pahang.
Timbalan Presiden persatuan itu Datuk Alias Abdul Rahman, 73, dari Negeri Sembilan berkata golongan muda sekarang dinasihatkan jangan terlalu bangga dengan negara luar kerana Malaysia telah membantu dan memberi peluang kepada mereka sejak mereka lahir lagi.
“Duduk di negara luar tidak sama dengan duduk di Malaysia, di sini kita ada kebebasan apa kita nak semua ada, Malaysia ini terlalu istimewa kepada rakyatnya dan kita tidak akan dapat apa yang Malaysia berikan di negara luar, jadi sayangi Malaysia ini,” katanya yang bertugas selama 36 tahun bersama PDRM.
Veteran Skuad 69 PDRM, Saperi Abdul Karim berkata sesuai dengan peredaran masa, perjuangan mempertahankan negara kini bukan hanya berlegar kepada mengangkat senjata sebaliknya juga perlu membina diri menjadi insan yang berguna dalam memajukan negara.
“Dahulu perjuangan kami menentang pengganas komunis, di Sabah kami pertahankan serangan lanun tetapi perjuangan yang diteruskan generasi muda sekarang sedikit berubah dari segi aspek membantu bangunkan Sabah dan Malaysia sendiri,” katanya yang berkhidmat selama 38 tahun.
Saperi, 71, dari Sarawak berkata hanya generasi muda negara kini yang menjadi harapan beliau serta rakan-rakannya untuk meneruskan perjuangan mempertahankan negara dan perjuangan itu perlu diteruskan demi memberikan kehidupan lebih baik untuk generasi seterusnya.
Seorang lagi veteran Skuad 69 PDRM, Ramli Othman, 72, dari Pulau Pinang berkata golongan muda diminta menghargai jasa generasi terdahulu yang mempertahankan negara kerana tanpa perjuangan mereka, tiada peluang serta kenikmatan yang diperoleh pada masa kini.
“Pegang (kepada) tiada dahulu tiadalah apa yang kita ada sekarang, hargainya dengan meneruskan perjuangan orang dahulu pertahankan negara, kita tiada sesiapa yang boleh kita harap hanya kepada orang muda sekarang kita letak sepenuh harapan untuk jaga Malaysia,” katanya yang berkhidmat selama 37 tahun. -TVS