SHAH ALAM, 12 Sept: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ yang dikurniakan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Haris Kasim dalam kenyataan berkata penarikan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992, dibuat baginda setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor.
Beliau berkata penarikan darjah kebesaran itu adalah berasaskan kepada sabitan dan hukuman yang dijatuhkan kepada Najib dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. -TVS