BANGI, 12 Sept : Skuad bola sepak Sarawak memulakan SUKMA 2022 dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Melaka pada perlawanan pertama Kumpulan B, petang tadi.
Beraksi di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), skuad Ngap Sayot membuka jaringan seawal minit pertama menerusi Zharmein Asraf Ismail.
Permainan terus rancak apabila kedua – dua pasukan saling mengasak namun Sarawak yang berjaya melebarkan kedudukan menerusi gol kedua oleh Ikwan Firdaus Mohd. Zaidi.
Bersambung babak kedua, Melaka mula memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sarawak yang dikawal Khairul Fahmi Jamariza.
Hasilnya, skuad Sang Kancil berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Lukman Hakim Norizam pada minit ke-80.
Tambahan masa lima minit yang diberikan tidak mengubah keputusan apabila Sarawak keluar sebagai pemenang.
Sementara itu, jurulatih Sarawak, Safri Amit berkata, beliau berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain pada perlawanan ini.
Katanya, kejayaan memungut tiga mata penuh menjadi titik tolak untuk mereka melangkah ke final dan menggapai impian meraih emas.
“Kita akan terus fokus untuk aksi seterusnya bertemu Pahang pada Rabu ini.
“Selepas itu Johor pula menanti namun kita sedar ini bukan tugas mudah kerana kedua – dua pasukan ini merupakan finalis Piala Presiden tahun ini,” katanya.
Zharmein Asraf yang mencetak nama selaku penjaring ketika perlawanan memasuki saat ke-15 berkata, dia berterima kasih kepada rakan sepasukan yang melaksanakan tugas masing – masing dengan cemerlang.
“Terima kasih juga kepada ibu bapa yang sentiasa doakan saya.
“Saya harap kami dapat teruskan rentak kemenangan ketika bertemu Pahang dan Johor selepas ini,” katanya. -TVS