Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Minyak sekiu dan biji sekiu yang sudah siap diproses. Foto: Ajis Soleh (TVS).
Penghulu Kampung Jemoreng, Mesaleh Shahdan menunjukkan minyak sekiu yang dihasilkan oleh kaum Melanau di Mukah.

Sekiu, minyak ‘kayangan’ dari Mukah, harga cecah RM500 sebotol

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MUKAH, 11 Sept : Lebih mahal daripada minyak diesel, petrol RON97 atau RON95, minyak sekiu menjadi tumpuan kerana harganya yang mahal sehingga mencecah RM500 sebotol bersaiz 500 mililiter (ml).

Ini bermaksud setiap 100 ml minyak sekiu berharga RM100 setanding dengan harga minyak wangi jenama antarabangsa.

Sekiranya peniaga dapat menjual dua atau tiga buah botol besar minyak sekiu, pendapatannya cukup lumayan malah dapat membeli sebuah motosikal terpakai.

Minyak sekiu yang digelar emas cair ini berasal daripada biji pokok yang hanya tumbuh di kawasan tengah Sarawak khususnya di Kampung Jemoreng, Mukah.

Penghulu Kampung Jemoreng, Mesaleh Shahdan berkata, ‘fungsi’ utama minyak ini adalah sebagai pembuka selera makan.

Mesaleh Shahdan menunjukkan biji sekiu yang sudah diproses. Foto: Aziz Soleh (TVS)

“Caranya ialah dengan menitiskan beberapa titisan minyak ini di atas nasi putih panas dan kemudian gaulkan hingga sebati.

“Setelah itu jamahlah nasi dengan ikan masin atau ulam ulaman. Rasanya cukup enak,”katanya kepada TVS, baru-baru ini.

Mesaleh berkata, minyak sekiu juga boleh dimakan bersama biji sagu, pisang dan bubur malah ada yang menggunakannya untuk menghasilkan kuih tradisi seperti penyaram.

“Ada juga yang menjadikannya sebagai minyak nasi goreng,”katanya.

Ditanya jika nasi goreng dimasak menggunakan minyak sekiu, adakah bermaksud akan menjadi sebagai antara nasi goreng termahal di dunia, Mesaleh secara bergurau berkata, perkara itu tidak ada benarnya.

Katanya lagi, minyak sekiu yang juga dikenali sebagai The olive oil of Sarawak ini juga mengandungi beberapa khasiat seperti vitamin E dan oleic acid ini dipercayai mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.

“Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) telah membuat beberapa kajian mengenai minyak ini beberapa tahun lepas.

“Keputusan yang diperolehi menunjukkan kandungan vitamin E dalam minyak ini amat sesuai bagi sesiapa yang ingin mempunyai kulit yang cantik,”katanya.

Ditanya mengenai ‘harga kayangan’ minyak ini, Mesaleh berkata, beberapa faktor menyumbang kepada perkara itu termasuk proses penghasilannya yang rumit.

“Selain itu sukar untuk mendapatkan bahan mentah untuk diproses kerana pokok sekiu atau nyatoh ketiau hanya boleh didapati di Matu, Daro dan hanya orang Melanau yang mahir mencarinya.

“Selain itu pokoknya hanya ditemui di Mukah sahaja,” katanya.

Beliau memberitahu, hanya individu yang mahir sahaja sanggup masuk hutan di Hulu Jemerong untuk mencari biji sekiu dan seterusnya memprosesnya menjadi minyak.

Bertambah mencabar katanya, kebelakangan ini pokok sekiu sukar ditemui dan berbuah pula hanya dalam tempoh tiga atau empat tahun sekali terutamanya pada Oktober, November dan Disember.

“Proses penghasilannya pula bermula dengan mengutip buah sekiu sebelum dijemur hingga kering di bawah cahaya matahari yang terik selama tiga hari.

“Selepas dikeringkan, kulit akan dibuang sebelum isinya ditumbuk kasar.

“Dahulu, kami menggunakan lesung kayu, namun kini mesin pengisar menjadi digunakan lebih cepat dan cekap,” katanya.

Proses penghasilan juga tidak mudah kerana ada beberapa ‘peraturan’ yang perlu dipatuhi.

“Bijinya akan dilapik dengan daun pisang sebelum dibalut dengan kulit kayu dan diikat bulat.

“Balutan itu kemudian disalai hingga keluar minyak dan ketika itu sudah masak,”katanya.

Seterusnya Mesaleh menerangkan, selepas proses itu, biji akan dimasukkan ke dalam bakul dan minyak diperah menggunakan alat dipanggil berbentuk pengapit dipanggil  ‘alas’ bagi mengeluarkan sebanyak mungkin minyak daripada bijinya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi mengelakkan pokok sekiu pupus, beberapa agensi kerajaan negeri termasuk Jabatan Hutan Sarawak  menyediakan tanah untuk tujuan perladangan.

“Harapan saya dengan adanya kerjasama ini, minyak sekiu berpotensi untuk pergi lebih jauh.

“Ini kerana buat masa ini, pasaran hanya di Sarawak dan beberapa tempat di Semenanjung Malaysia,”katanya.

Beliau juga yakin inisiatif kerajaan negeri itu akan dapat meningkatkan kedudukan sosio ekonomi penduduk setempat yang terlibat mengeluarkan minyak sekiu.

“Saya mahu anak-anak Kampung Jemoreng berusaha keras untuk memperhebatkan jenama minyak sekiu ini.

“Menerusi kepelbagaian produk berasaskan minyak sekiu, saya yakin ianya mempunyai pasaran luas untuk berkembang termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan