LIMBANG, 11 Sept : Seorang lelaki nyaris dipatuk seekor ular tedung hitam yang berlingkar dalam almari dapur rumahnya di Kampung Nauran, dekat sini petang tadi.
Kejadian pada pukul 6.15 petang itu disedari mangsa yang berusia 30-an yang kemudiannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Limbang.
Ketua Skuad Alpha APM Limbang, Koperal Pertahanan Awam Mohd. Arif Midun berkata, seramai empat anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Selepas meninjau kawasan yang dinyatakan oleh pengadu, anggota APM berjaya menangkap seekor ular tedung hitam sepanjang dua meter menggunakan peralatan khas.
“Reptilia itu kemudian dilepaskan di habitat yang jauh dari penempatan penduduk,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya operasi menangkap ular tedung hitam itu mengambil masa sekitar 10 minit. -TVS