Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata walaupun kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan, namun keadaan masih terkawal berdasarkan kepada data kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan yang rendah. Foto TVS.

KKM cadang majikan beri cuti tambahan sehari untuk pekerja jalani saringan kesihatan

ByBernama

REMBAU, 11 Sept: Kementerian Kesihatan mencadangkan agar majikan memberikan cuti tambahan sehari kepada pekerja untuk menjalani saringan kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerjasama majikan awam dan swasta adalah penting dalam memastikan pekerja dapat melakukan pemeriksaan kesihatan dan meminta Kementerian Kewangan melihat peraturan yang boleh dibuat supaya majikan di negara ini memberikan cuti itu.

“Apabila pekerja mahu melakukan pemeriksaan kesihatan, kebiasaannya setahun sekali, diharap majikan dapat berikan cuti, kadang-kadang apabila mahu melakukan saringan kesihatan, mereka terpaksa ambil cuti…

“Saya mohon majikan bagi cuti untuk tujuan saringan kesihatan sehari setahun kepada pekerja,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan Program Merdeka@Parlimen Rembau di Balai Raya Kampung Seri Kendong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Zaaba Abu Bakar.

Khairy juga berkata majikan perlu mengambil kira situasi pekerja yang mungkin tiada masa untuk melakukan saringan kesihatan pada hujung minggu.

“Waktu bekerja tak boleh pergi, hari minggu sibuk dengan keluarga. Akhirnya mereka tak dapat buat saringan kesihatan.

“Perkara ini saya sudah minta untuk Belanjawan 2023 akan datang kerana ia ada kesan kepada majikan,” katanya.

Media pada Julai melaporkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan perkara itu masih lagi rendah yang menyaksikan 53 peratus rakyat Malaysia tidak menjalani saringan kesihatan sejak setahun lepas.

Pada program hari ini, Khairy dalam ucapannya berkata kebersamaan rakyat adalah penting bagi memastikan negara dapat mengharungi cabaran COVID-19 dalam negara.

Beliau berkata kerjasama dan sokongan rakyat telah mendorong Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19 hasil pematuhan terhadap keselamatan kesihatan awam keseluruhannya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan