KUCHING, 11 Sept : Borneo e-Sports Incubator (BE-In 2022) dijangka mampu membangunkan industri e-sukan di Sarawak.
Pengerusi Besar Serba Digital X, Abdul Qaiyum Alidin berkata, program itu bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam e-sukan di negeri ini.
“BE -In 2022 akan berlangsung selama dua hingga tiga bulan dengan memberikan beberapa pengisian termasuk latihan kepada peserta terlibat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Kejohanan e-sukan BE-In dan Pelancaran Program BE-In, di Kota Samarahan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Ahli Sains, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) , Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Haji Othman dan Ketua Pegawai Teknologi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Ts. Hamadlan Hamdan.
Abdul Qaiyum berkata, pihaknya berharap menerusi latihan yang diberikan,program berkenaan mampu untuk melahirkan lebih ramai lagi atlet e-sukan yang dapat mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat antarangsa.
Sementara itu, peserta program berpendapat, inisiatif berkenaan menyediakan platform kepada mereka untuk berlatih dengan lebih efektif.
Izzat Imran Sukiman, 22, berkata, BE-In menyediakan banyak peralatan dan tutor seperti latihan peralatan bagi setiap permainan.
“Saya akan bercakap jujur. Peralatan yang disediakan di sini, lebih baik berbanding apa ada di rumah.
“Apabila berpeluang untuk bermain e-sukan di sini, kesemua peserta memanfaat sebaik mungkin,”katanya.
Seorang lagi peserta, Mohamad Afiq Aqmar Mohamad Nidzar, 21, berkata, dia berharap untuk berkembang maju dalam industri berkenaan.
“Melalui fasiliti canggih yang disediakan oleh penganjur, pemain e-sukan mampu pergi lebih jauh sebagai pemain yang professional,” ujarnya.
Borneo e-Sports Incubator (BE-In) 2022 merupakan program untuk komuniti e-sukan berdaya saing dam membantu mereka berkembang untuk menjadi individu profesional dalam komuniti e-sukan antarabangsa.
Program ini menyasarkan 30 hingga 50 individu berpotensi dalam industri e-sukan dengan menyediakan program berstruktur. -TVS