KUCHING, 11 Sept : Deejay terkenal antarabangsa, Alan Walker berkongsi momen dia membuat persembahan di pentas Borneo Music Festival (BMF) di Kampung Budaya Sarawak, di sini malam tadi.
Deejay yang terkenal dengan karya Lily itu turut meluahkan perasaan gembira kerana terlibat dengan BMF 2022.
“Kita berada di Borneo Music Festival di Malaysia yang mana persembahan berlangsung di kawasan hutan, sangat mengujakan,” katanya menerusi insta story Instagramnya.
Pemuzik kelahiran United Kingdom itu kemudian turut berkongsi beberapa video dia sedang membuat persembahan menerusi dua lagu popularnya Faded dan Alone.
Sebelum tiba di Sarawak, Alan terlebih dahulu membuat persembahan di Singapura.
Pada Jumaat, deejay terkenal Korea Selatan, DJ SODA turut menghiburkan ribuan peminatnya pada festival berkenaan.
Selepas dua tahun tidak dianjurkan secara fizikal, BMF edisi kali ini yang berlangsung selama dua hari turut menampilkan beberapa artis lain termasuklah DJ Venom C, DJ X Factor, Moski Love, DJ Alexis Grace, Nicole Chen, DJ Chaca, Priscilla Abby, Rynn Lim, Thomasjack, DJ Ice-Cream, Tuku’ Kame’, At Adau, DJ Myvax dan DJ Paul.- TVS