MIRI, 10 Sept : Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kampung Angus, Jalan Bintulu – Miri, Bekenu,dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah,Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, penunggang motosikal berusia 26 tahun itu dipercayai datang dari arah Miri menghala ke Bintulu.
Katanya, setibanya di tempat kejadian kira – kira pukul 11.15 pagi, dia dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan dan telah melanggar bahagian belakang kereta Axia yang dipandu seorang lelaki.
“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan seterusnya berlanggar dengan sebuah Hilux yang datang dari Batu Niah,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bekenu..
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS