Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Foto: Bernama.

Keputusan semak semula kerusi parlimen Sabah dan Sarawak langkah signifikan – Alexander Nanta

KUCHING, 10 Sept : Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula jumlah wakil Sabah dan Sarawak dalam Parlimen adalah satu langkah yang signifikan, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia penting terutama dalam semangat kesamarataan di bawah Persekutuan Malaysia dan turut selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, menerusi penambahan wakil, kedua-dua negeri itu juga akan mempunyai suara yang lebih lantang di Parlimen, terutama dalam usaha meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua per tiga.

“Ini penting supaya jika terdapat cubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak, Semenanjung Malaysia tidak boleh melakukannya sendiri.

“Pada ketika ini, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai suara lebih daripada satu per tiga. Oleh sebab itu apa-apa yang memerlukan dua per tiga untuk menggubal perlembagaan boleh dilakukan oleh Semenanjung Malaysia. Ini bukan tentang bersaing dengan Semenanjung tetapi untuk mengekalkan konsep semak dan imbang,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa teliti pengumuman MKMA63
  2. 2. MKMA63 perakui pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak
  3. 3. Isu jumlah wakil Sabah dan Sarawak di Parlimen akan diberi perhatian – Ismail Sabri

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Libat Urus Pemegang Taruh Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) – Jalan Akses ke Tunoh, Kapit, di sini, semalam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Beliau berkata ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan