Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir merasmikan Pesta Benak di sini petang tadi. Foto UKAS.

35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak selaras MA63 – Abang Johari

ByAkma Salleh

SRI AMAN, 10 Sept : Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju terhadap usaha untuk mengembalikan semula 35 peratus kerusi parlimen kepada dua negeri di Malaysia Timur.

Premier Sarawak itu berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) baru – baru ini.

“Kita berkehendakkan satu negara yang kuat dan bersatu.

“Kalau kita mahu menghormati semangat asalnya, maka nisbah ahli parlimen di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mestilah menggambarkan satu pertiga mewakili Sabah dan Sarawak dan dua pertiga Semenanjung Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Benak di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Beliau berkata ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata,perkara itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan pembahagaian kerusi tersebut.

“Tugas kita adalah untuk mempertahankan dan memahami dengan jelas prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perlembagaan boleh dipinda apabila mempunyai dua pertiga daripada jumlah ahli parlimen yang menyokong.

“Kalau tidak ada 35 peratus ini perlembagaan kita boleh dipinda dan ia boleh memberi kesan yang buruk ke atas apa yang telah termaktub dalam perlembagaan,” tegasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan