KUCHING, 8 Sept : Pesta Tasik Biru yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Jong kembali dianjurkan pada tahun ini setelah dua tahun ditangguhkan akibat Pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Pengangkutan II,Dato Henry Harry Jinep berkata,pesta itu akan berlangsung bermula pada 22 September hingga 2 Oktober ini di perkarangan Tasik Biru, Bau.
Katanya, pada tahun ini seramai 60,000 pengunjung dijangka akan hadir memeriahkan acara berkenaan.
“Bagi edisi kali ini, konsep berbeza akan ditampilkan selari dengan visi kerajaan negeri berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Tahun ini aspek kelestarian diterapkan dengan menekankan pelancongan sebagai sumber ekonomi baharu di Bau,” katanya dalam sidang media di Tasik Biru Food Village,Bau,di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata,modul pengisian pesta pada kali ini melibatkan kebudayaan masyarakat setempat,seni persembahan,produk pelancongan,dapur Bau,festival dan perkhidmatan untuk rakyat.
Dalam pada itu,pihaknya juga akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa pihak berkepentingan bagi memastikan kesinambungan penganjuran pesta tersebut.
“Kita ada MoU yang akan dimeterai bersama beberapa institusi selama tiga tahun.
“Ini bermakna Pesta Tasik Biru akan terus dianjurkan sehingga 2024,” katanya. -TVSÂ