KUCHING, 8 Sept : Bersempena cuti persekolahan kali ini, orang ramai mengambil peluang untuk melawat tempat – tempat tarikan pelancongan menarik di sekitar bandar raya ini.
Antara yang menjadi tumpuan termasuklah Borneo Cultures Museum (BCM) yang merupakan muzium terbesar di Malaysia.
Pegawai Komunikasi Korporat BCM, Dayang Nur Asnida Awang Iman berkata, kehadiran pengunjung ke muzium itu pada musim cuti sekolah kali ini sangat menggalakkan berbanding pada hari biasa.
Katanya, sejak cuti sekolah bermula, BCM menerima kunjungan lebih 2,000 pelawat setiap hari berbanding hanya 700 orang pada hari biasa.

“Kebanyakan pengunjung membeli tiket secara walk – in namun jika ada yang membuat pembelian secara dalam talian, mereka perlu memaklumkan kepada BCM terlebih dahulu terutamanya membabitkan rombongan pihak sekolah dan jabatan kerajaan,”katanya.
Tambahnya lagi, antara tumpuan utama bagi pengunjung kanak-kanak sekolah ialah galeri di aras dua yang mempamerkan pelbagai aktiviti menarik.
Muzium berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Mac lepas.
Antara tarikan utama muzium berkenaan termasuklah of Desire, Painted Caves, Sarawak in Motion dan banyak lagi.
Sejurus dibuka, ‘bangunan keemasan’ ini menjadi muzium kedua terbesar di Asia Tenggara.
BCM juga menerapkan penggunaan aspek teknologi terkini bagi memberi impak yang lebih mendalam. -TVS