KUCHING, 7 Sept : Siniawan Country Music Festival 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tergendala akibat wabak pandemik COVID-19.
Timbalan Pengerusi Organisasi Siniawan Country Music Festival, Wejok Tomik berkata, festival itu akan bermula pada 4 hingga 9 Oktober manakala acara kemuncaknya iaitu Country Music Concert akan berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober.
“Kami menjangkakan acara ini bakal menarik kehadiran pengunjung yang lebih ramai setelah dua tahun sepi.
“Sebenarnya, Siniawan bukan sekadar memiliki pasar malam yang terkenal tetapi juga festival muzik yang sudah mempunyai reputasi tersendiri di Malaysia,” katanya pada sidang media acara berkenaan baru – baru ini.
Apa yang lebih menarik kata Wejok, tiada bayaran tiket dikenakan untuk menyaksikan persembahan selain terdapat pelbagai gerai disediakan untuk membantu ekonomi peniaga tempatan.
“Di festival yang bakal berlangsung kelak,selain menikmati muzik, pengunjung hanya perlu menyediakan wang untuk makan dan minum selain mungkin mereka berminat untuk membeli cenderahati yang dijual,”katanya.
Sementara itu katanya penganjur turut berterima kasih kepada penaja termasuk Sarawak Tourism Board (STB), Majlis Daerah,Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak dan juga Serumbu Heritage.
“Kami juga turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh yang turut menaja acara ini,”katanya.
Festival berkenaan akan menyaksikan tujuh band tempatan serta band jemputan daripada luar negara untuk membuat persembahan selain kemunculan khas Band At Adau oleh Matheu Ngau.
Siniawan Country Music Festival merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sarawak berlangsung di Siniawan yang terkenal dengan sejarah bangunan lama dan pelbagai gerai menjual pelbagai jenis makanan tempatan.– TVS