SIBU, 7 Sept : Pameran Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek boleh dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, selepas diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari pada November tahun lepas, perkara itu mendapat perhatian penduduk di kawasan itu.
“Rakyat di Sibu sangat berminat dengan Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek ini apabila mereka kerap bertanyakan kepada saya mengenai pelan tersebut.
“Antara yang disoal ialah bila pelan itu akan mula dilaksanakan, bagaimana struktur pelan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Festival Celebration di Pusat khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini semalam.
Sehubungan itu, Jin Eik berkata, beliau ingin mencadangkan agar Kerajaan Sarawam dapat menimbangkan untuk melaksanakan pameran berkenaan.
Katanya, ini penting bagi menerangkan polisi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada penduduk di Sibu.
Ketika disoal mengenai perkembangan pelan tersebut setakat ini, beliau menjelaskan bahawa pelan tersebut masih di peringkat perancangan.
“Pelan ini memerlukan perancangan secara menyeluruh memandangkan ianya melibatkan dana yang besar dan ia memerlukan masa perlaksanaan yang lama,”katanya.
Katanya, penduduk Sibu gembira kerana mempunyai seperti Abang Johari yang sentiasa menjaga Sibu dan sangat komited terutama dalam Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek. – TVS