Pembaharuan jenama ini melambangkan aspirasi Boost untuk meningkatkan tahap keterangkuman kewangan di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Tenggara menerusi kuasa teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Boost, yang sebelum ini hanya dikenali sebagai perniagaan e-Dompet, telah meluaskan tawaran melangkaui pembayaran tanpa tunai untuk meliputi pinjaman alternatif, teknologi insuran dan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan, seterusnya menjadi sebuah syarikat teknologi kewangan spektrum penuh.
Pembaharuan jenama itu merupakan fasa seterusnya selepas penjenamaan semula Boost pada tahun lepas untuk menyatukan perkhidmatan kewangan digital Axiata.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost Sheyantha Abeykoon berkata setelah meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia untuk mengguna penyelesaian digital sejak hampir lima tahun, Boost kekal di hadapan industri menerusi ciri teknologi kewangan inovatif yang menggunakan AI untuk memacu pertumbuhan berterusan.
“Perniagaan kami terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sambil mencapai pelbagai mercu jaya penting sejak itu seperti penarafan gred pelaburan A1 daripada RAM bagi perniagaan pembiayaan kami dan kejayaan memperolehi lesen perbankan digital.
“Sambil kami meneroka peluang baharu, jenama Boost yang diperbaharui ini mencerminkan cita-cita yang tidak terbatas untuk memperkasakan semua di seluruh rantau ini dengan penyelesaian kewangan digital,” katanya semasa pelancaran jenama yang diberi nafas baharu itu di HGH Convention Centre, dekat sini, hari ini.
Momentum Pertumbuhan Kukuh
Boost berkata sejak awal tahun, ekosistem teknologi kewangan menyeluruh Boost yang merangkumi aplikasi teknologi kewangan pengguna, penyelesaian bagi peniaga, perniagaan pembiayaan berasaskan AI, dan juga platform pembayaran rentas sempadan terus mencapai mercu jaya baharu.
Ini jelas dilihat daripada nilai transaksi kasar keseluruhan yang meningkat 26.8 peratus sejak awal tahun, mencecah RM2.9 bilion pada separuh pertama 2022, dengan hasil bersih mengikuti pertumbuhan trajektori yang sama.
Di samping itu, Boost berkata ia mencatatkan peningkatan tahun ke tahun lebih dua kali dari segi nilai pembiayaan yang diberikan di seluruh rantau, peningkatan 43.1 peratus dalam bilangan titik sentuhan peniaga yang mencecah lebih 500,000 peniaga di seluruh Malaysia dan Indonesia, peningkatan 10.5 peratus dalam bilangan pengguna sehingga lebih 10 juta, serta pertumbuhan empat angka bagi penggunaan BoostBills.
BoostBills mencatatkan peningkatan tahunan lebih 5,800 peratus dalam bilangan pembayaran bil secara automatik dan lebih 4,000 peratus dalam pembayaran beberapa bil sekali gus, kata kenyataan itu.
Sheyantha berkata semua pengguna Boost menikmati pengalaman yang lancar tanpa batasan untuk memenuhi semua keperluan kewangan mereka kerana mereka boleh memanfaatkan pelbagai penyelesaian di satu aplikasi teknologi kewangan pengguna.
“Para peniaga kami boleh memanfaatkan sokongan pembiayaan mudah yang boleh disesuaikan kepada keperluan mereka. Matlamat utama kami ialah untuk memberi inspirasi kepada pengguna dan peniaga bagi mencapai kehidupan impian,” katanya.
Jenama Tanpa Batasan Untuk Semua
Sejajar dengan pertumbuhan berterusan Boost, jenama yang diberi nafas baharu ini melambangkan era baharu tanpa batasan bagi Boost sebagai jenama teknologi kewangan serantau spektrum penuh yang memperkasakan pengguna dan peniaga dari segi kewangan, sambil mengekalkan legasi kukuh yang diyakini pengguna.
Jenama baharu Boost menampilkan logo ditambah baik yang lebih tinggi dan padat, dengan warna merah yang lebih pekat, dan disusuli oleh laluan beraneka warna, dan logo baharu turut memaparkan cogan kata baharu ‘Be Unstoppable’.
Ketua Pegawai Pemasaran Boost Diana Boo berkata setiap aspek pembaharuan jenama itu, daripada logo dan tipografi sehingga kepada laluan beraneka warna serta cogan kata baharu telah dipertimbangkan dengan teliti untuk memberi inspirasi kepada pelanggan untuk menghadapi sebarang cabaran hidup dan merealisasikan potensi penuh mereka.
“Rupa bentuknya juga telah mengubah aplikasi dan laman web Boost, yang disusun reka supaya lebih mudah diakses dan mesra untuk semua bagi menggalakkan penggunaan digital dan keterangkuman kewangan lanjut. Kami berharap untuk meringankan beban kewangan orang ramai, dan membolehkan mereka bebas meneroka segala impian tanpa batasan – inilah maksud ‘Be Unstoppable’,” katanya semasa majlis pelancaran tersebut.
Kemungkinan Baharu dengan Penyelesaian Inovatif
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pelanggan Boost boleh memanfaatkan ciri penyelesaian pinjaman, simpanan dan pelaburan yang lebih baik selain menceburi pasaran baharu, sambil mengukuhkan operasi di Indonesia sebagai persediaan menjadi sebuah bank digital.
Bank digital yang dinanti-nantikan itu dijangka meningkatkan capaian industri dan mengukuhkan tahap keterangkuman kewangan dengan memastikan perkhidmatan kewangan lebih mudah didapati oleh mereka yang kurang atau langsung tidak menerima perkhidmatan bank, menerusi penyelesaian teknologi kewangan yang inovatif.
“Di Indonesia, kami sedang meluaskan tawaran kami dengan bekerjasama dengan peserta penting dalam ekosistem seperti syarikat barangan pengguna laris, telekomunikasi, penyedia ‘direct-to-home content’ dan lain-lain.
“Kami juga sedang meninjau kemungkinan untuk menyesuaikan model pinjaman berasaskan teknologi kewangan kami bagi menyediakan penyelesaian dan produk nilai tambah kepada peniaga, sebagaimana yang telah dilaksanakan di Malaysia.
“Kami juga akan memeterai kerjasama penting untuk meluaskan operasi pinjaman menerusi sumber perbankan dan bukan konvensional,” tambah Sheyantha.
Semasa pelancaran itu, Boost juga mengumumkan rangkaian produk baharu bagi pengguna dan juga peniaga yang bakal dilancarkan sepanjang 2022 dan 2023 dengan ganjaran lebih menarik, termasuk saiz dompet lebih besar dan banyak lagi.
Peniaga juga boleh memanfaatkan Biz Booster premium baharu, iaitu alat analisis data sebagai perkhidmatan (DaaS), untuk membolehkan mereka menjangkaui sempadan dan meluaskan lagi perniagaan masing-masing. -TVS