KUCHING, 7 Sept : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak bersiap siaga menghadapi musim peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hujung bulan ini sehingga awal tahun hadapan.
Penolong Pengarah Kanan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dan Bantuan Bencana APMM Sarawak,Leftenan Komander Maritim Nurrul Elni Ali berkata, pihaknya kini mengambil pendekatan untuk mendekati golongan sasar dalam memberi peringatan dan langkah yang perlu diambil bagi menghadapi peralihan cuaca berkenaan.
“Kami merancang untuk mengadakan taklimat kepada Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak.
“Mereka ini merupakan golongan yang sering turun ke laut pada musim monsun, oleh itu, kita ingin menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan dan juga prosedur komunikasi untuk membuat panggilan kecemasan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Latihan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) Tahap Tiga 2022 APMM Negeri Sarawak yang diadakan di sekitar perairan Tanjung Po dan Muara Tebas, hari ini.
Ujar Nurrul Elni, latihan tersebut mengfokuskan penyelamatan yang melibatkan insiden yang berlaku terhadap bot nelayan.
Senario tersebut dipilih disebabkan berlakunya peningkatan aktiviti memancing menggunakan bot nelayan di kawasan perairan Sarawak sejak kebelakangan ini.
“Kalau kita lihat aktiviti memancing di Sarawak sedang meningkat naik setelah negara memasuki peralihan ke fasa endemik.
“Sebilangan besar komuniti maritim yang terdiri daripada komuniti pemancing ini turun ke laut untuk memancing dengan menyewa bot nelayan tempatan tanpa mengendahkan cuaca mahupun keadaan bot itu sendiri.
“Oleh itu, pihak APMM mengambil keputusan untuk melakukan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang boleh terjadi disebabkan kelekaan mereka,”katanya.
Seramai 134 anggota terlibat dalam latihan tersebut yang turut merangkumi anggota dari pelbagai agensi dan jabatan yang berkaitan.-TVS