Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata pada suku pertama tahun kewangan 2023, ia telah memperoleh kira-kira RM400 juta pinjaman melibatkan pembiayaan hijau.
Pada tahun lepas, bank itu memberikan pinjaman kira-kira RM3.7 bilion melalui penyelesaian pembiayaan hijau, antaranya bertujuan menggalakkan bangunan hijau.
“Kami menyokong pembiayaan hijau ini kerana inilah yang diharapkan oleh pelanggan kami. Sebagai entiti yang menawarkan pinjaman, kami ingin memastikan perniagaan adalah sebahagian daripada inisiatif kami bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian dengan Kerjaya Prospek Property Bhd.
Beliau berkata ketika ini bank sedang menjalani proses pengesahan untuk menilai perbezaan di antara bangunan tradisional dengan bangunan hijau yang selamat dari segi pelepasan karbon.
“Ia bertujuan mencapai neutral karbon agar lebih baik untuk alam sekitar,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Ambank menandatangani kemudahan pembiayaan hijau dengan Kerjaya Prospek Property berjumlah sehingga RM100 juta untuk membiayai pembangunan Courtyard by Marriot Hotel di Bloomsvale, pembangunan bercampur yang akan datang, di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
“Kami berbangga dengan kejayaan penting Kerjaya Prospek Property untuk memilih pendekatan lebih hijau bagi projeknya yang akan datang, Bloomsvale.
“Inisiatif tersebut adalah sejajar dengan usaha AmBank Group untuk meningkatkan dan mengoptimumkan kemudahan pembiayaan agar memberi impak positif kepada pihak berkepentingan dan menambah baik pengalaman pelanggan yang berterusan di bawah agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus kami yang lebih luas,” kata Sulaiman.
Bloomsvale merangkumi hotel, pangsapuri perkhidmatan, suite pejabat dan pusat membeli-belah.
Projek itu akan diperakui dengan penarafan platinum GreenRE bagi kawasan kediamannya, manakala penarafan emas untuk bangunan komersial.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kerjaya Prospek Property Datin Toh Siew Chuon berkata kemudahan pinjaman hijau membuktikan usaha syarikat untuk menyenaraikan pembangunan lebih mampan dalam portfolionya serta menjadi lebih bertanggungjawab dalam pembangunan dan amalan pembinaan.
“Kami optimis untuk memanfaatkan inisiatif hijau dan akan melancarkan lebih banyak pembangunan hijau dalam masa terdekat,” katanya. -TVS