Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh. Foto: TVS

Sarawak sambut baik cadangan naik taraf SIRIM Sarawak

BySalasiah Safian

KUCHING, 6 Sept: Sarawak menyambut baik cadangan untuk menambah baik cawangan SIRIM Sarawak di Kuching.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, ini kerana kawasan pertumbuhan industri juga sedang berkembang pesat di Sarawak dan bukannya di Semenanjung Malaysia sahaja.

Katanya adalah penting untuk pemain industri Sarawak mengetahui peranan SIRIM dan menjalinkan kerjasama erat dengan agensi tersebut kerana SIRIM mempunyai maklumat-maklumat terkini yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri.

Ia merupakan langkah kehadapan terbaik bagi memastikan pemain industri menyasarkan pasaran dunia.

“Kita boleh katakan begini, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyokong idea ini untuk menubuhkan pusat dan operasi di Sarawak bukan di Lembah Klang atau di Kuala Lumpur sahaja, kerana sekarang kawasan pertumbuhan di Sarawak.

“Kami menyediakan semua kemudahan ini tetapi pada masa yang sama kepakaran perlu diperoleh dari tempat lain. Pada masa yang sama kita di Sarawak ini menghadapi masalah dari segi tenaga kerja,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan Sarawak turut menyambut baik cadangan untuk menubuhkan cawangan SIRIM di daerah lain seperti Bintulu dan Miri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Program Keterlibatan SIRIM-Industri di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Haji Openg turut berkata, bagi mewakili sektor swasta di Sarawak, inisiatif serta program tersebut sangat dialu-alukan kerana sektor swasta juga ‘dahagakan’ idea-idea baharu.

“Jadi saya fikir ia paling sesuai untuk SIRIM menghulurkan bantuan kepada kami dan saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan lebih teratur dan pro-aktif dalam usaha mencari idea dan juga bekerjasama rapat dengan pihak SIRIM,” ujarnya.

Pengerusi SIRIM Berhad, Tan Sri Dr. IR. Ahmad Tajuddin Ali berkata, pihaknya bersedia untuk menjalinkan kerjasama malah sanggup menyediakan tenaga mahir untuk SIRIM Sarawak.

“Sarawak sedang bergerak ke arah sektor perindustrian diperingkat yang lebih tinggi dan di sinilah peranan SIRIM menjadi penting,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan