BUTTERWORTH, 6 Sept: Seorang pemandu lori kontena maut selepas kepalanya tersepit di antara dua buah kontena di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 23 tahun maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa tersepit di antara kontena berukuran kira-kira enam meter yang berada di atas prime mover ketika ditolak menggunakan reach stacker.
Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengangkut kontena kosong dari jeti ke kawasan penyimpanan.
“Mangsa ditugaskan sebagai pemandu dipercayai sedang memeriksa pengunci pintu kontena yang sedang disusun di atas prime mover.
“Pada masa yang sama, seorang pekerja lain menolak kontena tersebut menggunakan jentera reach stacker untuk merapatkan kedudukannya di atas prime mover tanpa menyedari mangsa sedang berada di situ,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tersebut berkata, akibat kejadian berkenaan, kepala mangsa tersepit di antara kedua-dua kontena dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sehubungan itu, JKKP mengeluarkan satu Notis Larangan, manalala lokasi kejadian dan kenderaan yang digunakan disita serta merta sehingga siasatan selesai.
“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu lagi. – TVS