SANDAKAN, 6 Sept: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan pengusiran secara berterusan bagi memastikan 7,200 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dihantar pulang ke negara asal.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua tahanan berkenaan ketika ini berada di empat Depot Imigresen iaitu di Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu.
Katanya, tahanan Filipina paling ramai iaitu lebih 6,000 orang.
“Siri pertama pengusiran melibatkan 750 orang dan dua minggu lagi, seramai 500 tahanan akan diusir melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.
“Usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan sehingga 6,200 tahanan Filipina yang sekarang ini berada di depot-depot seluruh Sabah habis diusir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Pengusiran Warganegara Filipina Siri 9/2022 di Pelabuhan Sandakan di sini hari ini.
Tahanan yang diusir melibatkan 638 orang lelaki, 81 perempuan, 30 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan seorang kanak-kanak berumur 23 bulan.
Kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen diri, menyalahgunakan pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan.
Menurut beliau, proses pengusiran tahanan di semua Depot Imigresen di Sabah disambung semula selepas tertangguh sebelum ini berikutan negara asal tahanan memberikan alasan sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19. -TVS