Bercakap menerusi saluran tempatan VRT, Alexander De Croo menegaskan bahawa situasi terkini tidak boleh berterusan, lapor Agensi Anadolu.
Beliau turut mengkritik Suruhanjaya EU kerana lambat bertindak berhubung isu itu, sambil berkata Belgium tidak akan membenarkan syarikat-syarikat muflis atau beribu-ribu rakyatnya merempat  kerana kos tenaga.
De Croo berkata: “Krisis ini tidak terhad kepada tenaga, ini adalah situasi tentang kestabilan dan keselamatan benua Eropah.
“Jika Suruhanjaya EU tidak campur tangan, terdapat risiko yang menjerumus kepada perang ekonomi sebenar.”
Sambil menekankan kepentingan mengenakan harga siling ke atas gas asli, beliau berkata isu ini juga perlu ditangani dan diputuskan di peringkat Eropah.
Bulan lalu, De Croo memberi amaran bahawa keadaan sukar ini susulan kenaikan harga tenaga akan berterusan hingga lima atau 10 musim sejuk akan datang. -TVS