Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Guru Tabika KEMAS Rumah Panjang Gangga, di Bruan, Shahida Marishmsudin berkata, proses pengajaran dan pembelajaran di situ kini lebih selesa berpindah ke premis baharu yang disediakan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Foto Ajis Soleh (TVS)

Tabika baharu inisiatif Petronas beri keselesaan kepada murid, kata guru

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

MUKAH, 5 Sept : Guru yang mengajar di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Rumah Panjang Gangga, di Bruan, Shahida Marishmsudin mengakui proses pembelajaran kini lebih selesa selepas berpindah ke premis baharu yang disediakan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Shahida, 33, yang mengajar di situ sejak 2011 berkata, sebelum ini suasana di Tabika berkenaan kurang kondusif berikutan kekangan saiz bilik darjah.

“Sebelum ini hanya ruang kecil sahaja dan dengan jumlah murid sekitar 10 orang, keadaan agak sesak namun lepas premis baharu siap pada 2019, keadaan kami lebih baik,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tabika KEMAS Rumah Panjang Gangga itu merupakan satu daripada lapan yang menerima peruntukan daripada Petronas untuk premis baharu menerusi inisiatif keseluruhan berjumlah RM1.18 juta.

Baca di sini > > > Petronas peruntukan RM1.8 juta sediakan lapan Tabika Kemas di Matu

Pengurus Perlaksanaan Projek Petronas di Sarawak, Abang Nor Azam Abang Zawawie berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan enam bilik darjah jenis kayu belian di Kampung Loba Balu, Kampung Sekaan Besar, Kampung Sejahtera, Rumah Panjang Gangga, Bruan, Rumah Panjang Muring, Telok Deloh dan Kampung Jemoreng.

Katanya, dua lagi tabika di Kampung Igan dan Kampung Pergau akan turut dibina di bawah inisiatif berkenaan.

Sementara itu Shahida berkata, premis baharu Tabika berkenaan juga mempunyai bilik darjah yang lebih luas.

“Anak murid berasa gembira kerana dapat bermain dan melakukan pelbagai aktiviti seperti dekorasi bilik darjah, ruang untuk makan dan sebagainya,” katanya.

Ditanya tentang kesukaran sebelum projek berkenaan siap, Shahida berkata, mereka sebelum ini ‘menumpang’ di premis milik Persatuan Pembangunan Wanita Sarawak (PPWS) di rumah panjang itu.

“Kayu pondok berkenaan sudah usang dan agak berbahaya kepada kanak – kanak yang aktif. Selain itu, dahulu murid – murid yang ingin ke tandas terpaksa pulang ke rumah panjang dan ada yang ponteng selepas itu.

“Sekarang, dengan adanya bilik darjah yang luas, mereka bebas bergerak dan aktiviti pembelajaran menjadi lebih seronok,”katanya.

Di premis baharu juga katanya, terdapat tiga tandas yang disediakan sekaligus memberi keselesaan kepada guru, pembantu dan murid – murid.

Shahida berharap usaha berkenaan dapat diteruskan oleh Petronas untuk menjamin masa depan buat anak-anak di Matu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan