KUCHING, 5 Sept : Sukan touch bukan lagi asing di Malaysia namun ianya masih kurang mendapat sambutan di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, sukan itu berpotensi untuk dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa akan datang.
“Saya yakin sukan ini mampu untuk berkembang bukan hanya di Sarawak tetapi pada peringkat lebih tinggi, jadi kita mula dengan SUKMA dahulu.
“Saya tahu jiran kita, Singapura, sangat bagus dan tidak jauh dari sini, Australia dan New Zealand juga handal dalam sukan touch,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kejohanan Liga Touch Jemputan Sarawak Touch Association (STA) 2022, di Padang D, Jalan Stadium, semalam.
Katanya, sukan touch perlu dimulakan daripada peringkat akar umbi dan sekolah walaupun ianya merupakan satu cabaran bagi negeri yang besar seperti Sarawak.
Tambah Abdullah, pengurusan persatuan sukan juga perlu dikendalikan dengan baik terutamanya aspek pengurusan kewangan, acara dan media.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Touch Malaysia, Ahmad Sufiani Johari berkata, kursus untuk para pengadil turut diadakan sebelum kejohanan tersebut berlangsung.
“Semalam, kami telah mengadakan kursus pengadil, seramai 38 orang pengadil telah ditauliahkan dan ini kumpulan terbesar yang pernah ditauliahkan dalam sejarah kita dan buat masa ini di Sarawak.
“Saya lihat tidak ada masalah kerana Sarawak kini mempunyai kumpulan pengadil yang terbesar iaitu seramai 58 orang dan 10 jurulatih yang bertauliah,” katanya.
Sebanyak 10 pasukan telah beraksi pada kejohanan kali ini, termasuk dari Sabah.
Tempat pertama telah dimenangi oleh Sabah Mountain Ox, tempat kedua, Miri Touch Association manakala SSC Hornbills pula menamatkan cabaran di tempat ketiga.-TVS