BINTULU, 5 Sept: Sebuah bot tunda dan tongkang yang bergerak pada jarak 1.6 batu nautika dari Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak telah ditahan oleh oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu pada pagi Ahad.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang tersebut gagal memberikan sebarang dokumen berkaitan vesel dan muatan disyaki pasir ketika diminta oleh pihak nya.
“Manakala kru yang ditahan pula, didapati permit kerja telah tamat tempoh dan telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang telah ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati lima orang kru termasuk nakhoda merupakan warganegara Indonesia, berumur dalam lingkungan 31 hingga 56 tahun dan semuanya adalah lelaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dedahnya terdapat juga muatan disyaki pasir dijumpai di atas tongkang semasa diperiksa.
“Kesemua kru beserta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah.
“Manakala kru yang ditahan akan disiasat di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana permit kerja telah tamat tempoh yang mana boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu katanya Maritim Malaysia akan sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut.
Orang ramai boleh menghubungi secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. -TVS