ANKARA, 5 Sept: Sebuah helikopter milik tentera Turkiye dilapor terhempas di utara Iraq, menurut Kementerian Pertahanan pada Isnin.
Seramai tujuh daripada lapan penumpang terselamat manakala operasi mencari seorang lagi mangsa sedang dijalankan, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.
Helikopter Sikorsky itu ditugaskan menyertai misi menghantar bekalan tetapi terpaksa membuat pendaratan cemas di wilayah Operasi Claw-Lock akibat “masalah teknikal.”
Türkiye melancarkan Operasi Claw-Lock pada April bagi menyasarkan lokasi persembunyian pertubuhan pengganas PKK di wilayah Metina, Zap, dan Avasin-Basyan di utara Iraq, berhampiran sempadan Turkiye.
Operasi itu hasil inisiatif tentera selepas Operasi Claw-Tiger dan Claw-Eagle untuk membasmi pengganas yang bersembunyi di utara Iraq serta merancang serangan rentas sempadan di Türkiye. -TVS