KUALA LUMPUR, 4 Sept: Tiga lokasi utama di Sarawak iaitu Kuching, Miri dan Mulu menarik minat pengunjung pada Karnival Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang berakhir hari ini.
Pengurus Bahagian Domestik, Sarawak Tourism Board (STB), Peter Gabriel Lembat berkata, ini berdasarkan pertanyaan mengenai tempat – tempat pelancongan yang ditawarkan di tiga lokasi berkenaan.
Katanya, pakej pelancongan yang dijual oleh agen – agen pelancongan Sarawak yang menyertai reruai STB di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) turut menerima sambutan menggalakan.
“Setakat ini nilai jualan melebihi RM50 000 dicatatkan sepanjang tiga hari penganjuran karnival ini dengan lebih 2,000 pengunjung singgah ke ruang pameran.
“Saya percaya berdasarkan promosi berterusan dilaksanakan STB dan Kerajaan Sarawak, lebih banyak pelancong di Semenanjung Malaysia akan melawat Sarawak dalam tempoh terdekat,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Peter Gabriel berkata, pada bulan ini juga akan berlangsung beberapa acara menarik di Kuching yang dijangka akan turut menarik kemasukan pelancong asing.
“Bermula pada 9 September ini, akan berlangsung Borneo Music Festival selama dua hari di Kampung Budaya Sarawak yang menampilkan artis terkenal antarabangsa antaranya Alan Walker, DJ Soda dan Rynn Lim.
“Turut dijual pakej pelancongan untuk melawat beberapa tempat menarik termasuk Taman Negara Bako, lawatan ke Rumah Panjang Annah Rais dan menikmati keindahan alam di Empangan Bengoh dan Kampung Sting pada kadar harga yang sangat berpatutan,” katanya.
Pada Oktober pula, Peter Gabriel memberitahu, akan berlangsung Festival Lada Malaysia di Waterfront Kuching yang dijangka akan turut menarik perhatian ramai.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khaimal Borneo Travel And Tours Sdn. Bhd., Mohammad Fikri Zainol Majid berkata, syarikatnya berjaya menjual pakej pelancongan melebihi RM20 000 sepanjang penyertaan pada karnival kali ini.
Katanya, antara yang ditawarkan termasuklah Pakej Jimat Cik Kiah ke Kuching selama empat hari tiga malam.
“Pengunjung akan dibawa melawat beberapa tempat menarik di Kuching termasuklah Borneo Culture Museum, lawatan ke Kampung Budaya Sarawak dan ke bengkel membuat kek lapis,”katanya. -TVS