Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Lee Kim Shin
Lee menghadiri Program Jangkauan Komuniti Tahunan International Medical University (IMU) dalam Bengkel Kesihatan Mental Miri dan Bengkel Respon Kecemasan dan Komunikasi. Foto: TVS

Kesihatan mental remaja perlu diambil berat

MIRI, 3 Sept : International Medical University (IMU) bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mengadakan kempen kesedaran kesihatan mental dalam kalangan golongan remaja.

Program itu antara lain bertujuan untuk menyangkal stigma masyarakat tentang penyakit mental.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato’ Sri Lee Kim Shin, setiap manusia termasuk golongan remaja menghadapi masalah tersendiri dalam kehidupan.

Justeru, ujar beliau, program sebegini penting bagi mengelakkan lebih ramai remaja daripada mengalami masalah kesihatan mental dengan mendedahkan mereka kepada pertolongan yang dapat diperoleh daripada pakar.

“Sesetengah remaja mengalami kesukaran untuk menangani tekanan yang ketara dan tidak ketara, dan kita telah melihat sesetengah mengalami kemurungan dan keresahan.

“Malah lebih tragis lagi, ada yang telah membuat keputusan untuk mencabut nyawa sendiri.

“Justeru, promosi kesihatan mental adalah penting buat golongan muda ini. Namun begitu, kita boleh mengelakkan perkara sedemikian daripada terjadi dengan menguatkan kapasiti individu untuk mengawal emosi,” katanya.

Lee menambah, isu kesihatan mental ini wajar dibahas, lebih-lebih lagi ketika negara baharu sahaja pulih daripada cabaran pandemik yang menguji kehidupan manusia, termasuk hilang punca pendapatan.

Beliau juga berharap agar lebih banyak lagi program berkaitan kesihatan mental dijalankan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun agensi kerajaan.

“Saya rasa program ini amat baik, di mana kita memberi fokus kepada isu kesihatan mental kerana sewaktu pandemik COVID-19, terdapat banyak masalah mental dan sosial.

“Kini kita masih berada dalam fasa endemik, dan saya berharap kita dapat kembali semula kepada kehidupan seperti dahulu, dan ekonomi negara kian pulih.

“Seperti yang kita tahu, kita menghadapi banyak masalah ketika pandemik mula-mula berlaku di mana aktiviti ekonomi dikurangkan untuk mengelak penularannya.

“Kini kerajaan memberikan fokus kepada usaha membaikpulih ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Lee berkata demikian ketika merasmikan Program Jangkauan Komuniti Tahunan International Medical University (IMU) dalam Bengkel Kesihatan Mental Miri dan Bengkel Respon Kecemasan dan Komunikasi di sebuah hotel terkemuka di Miri pada Sabtu.

Seramai 60 peserta terlibat dalam program tersebut, yang terdiri daripada pelajar dari pelbagai sekolah di Miri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan