NEW DELHI, 3 Sept : Bekas presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara ketika penunjuk perasaan menyerbu rumah dan pejabatnya pada Julai lalu, telah kembali ke tanah air.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandranaike (BIA) Colombo pada Jumaat sambil diiringi beberapa menteri dan ahli politik, lapor media tempatan.
Gotabaya tiba dari Thailand dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines.
Pemimpin berusia 73 tahun itu meninggalkan Sri Lanka menuju ke Maldives pada 13 Julai dengan menaiki pesawat tentera bersama isterinya dan kemudian berlepas ke Singapura.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Perintah berkurung di Sri Lanka, penunjuk perasaan serbu kediaman Presiden
- 2. Sri Lanka kuat kuasa perintah berkurung 36 jam
- 3. Penunjuk perasaan ambil alih pejabat perdana menteri Sri Lanka
Gotabaya secara rasmi meletak jawatan sebagai presiden ketika berada di luar negara, memberi laluan kepada perdana menteri ketika itu Ranil Wickremesinghe untuk menjadi presiden baharu Sri Lanka.
Sri Lanka, gagal melunaskan hutang asing pada April, menyaksikan kadar inflasi melonjak kepada 64.3 peratus pada Ogos.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Isnin memaklumkan pihaknya telah menandatangani perjanjian awal untuk memberi pinjaman US$2.9 bilion kepada Sri Lanka bagi membantu negara itu pulih daripada krisis ekonominya. – TVS