KUALA LUMPUR, 2 Sept : Timbalan Ketua Menteri I Sabah,Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri berhubung tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Rozina Ayob berkata,pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan Zizie Izette, 44.
Ujarnya,mahkamah berhati-hati ketika meneliti semua keterangan terutama oleh saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 yang merupakan perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.
“Setelah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke- 25 dan hujahan kesemua pihak,walaupun terdapat percanggahan percakapan, ianya tidak beri kesan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
“Saya ambil maklum percanggahan,setelah meneliti keterangan serta hujuhan kesemua pihak,saya berpuas hati kesemua intipati pertuduhan,”katanya ketika membaca keputusan di Mahkamah Sesyen di sini petang ini.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie Izette pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.
Bung Moktar,yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA,dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.
Pasangan itu ditawarkan tiga pilihan sama ada mahu berdiam diri dengan tidak menjawab tuduhan atau memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas pendakwaan.
Pilihan ketiga, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Selepas mendengar perkara itu, peguam Datuk K Kumaraendran dan M Athimulan memaklumkan suami isteri itu memilih pilihan ketiga.
M Athimulan berkata, pembelaan menawarkan secara keseluruhan 10 saksi termasuk dua tertuduh itu.
“Mengenai tarikh, saya difahamkan Datuk Seri ada sesi Parlimen bermula 3 Oktober hingga 29 November ini, kita mohon tarikh sesuai pada Disember,” katanya.
Bagaimanapun Rozina berkata,beliau memberi keutamaan kepada kes berkenaan dan mahu prosedur bersambung pada bulan ini.
Setelah dirayu oleh peguam tertuduh,mahkamah menetapkan 23 dan 26 September ini serta 14 dan 28 Oktober, 21 dan 30 November, 1 dan 7 Disember serta 3 dan 9 hingga 13 Januari tahun depan untuk perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah. -TVS