KUCHING, 2 Sept : Kerajaan Sarawak tidak akan sesekali menafikan hak rakyatnya ke atas pemilikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata ini dibuktikan dengan pelaksanaan proses penyukatan tanah NCR yang sentiasa berjalan selagi mana ada permohonan daripada masyarakat.
Namun begitu, Awang Tengah menegaskan, hanya permohonan yang mempunyai asas yang cukup sahaja akan dipertimbangkan.
“Menyentuh tentang soal tanah, kerajaan sentiasa mengiktiraf tanah hak adat bumiputera asalkan cukup dengan bukti, bukti yang sahih berdasarkan kepada fakta dan berdasarkan kepada perundangan kita.
“Ini adalah komitmen kita, kerja-kerja menyukat ini bukan baharu, yang mana proses menyukat ini telah berlangsung sejak tahun 60an lagi,” katanya.
Menurutnya, proses penyukatan tidak pernah berhenti meskipun bantuan daripada kerajaan persekutuan pernah diberhentikan semasa pemerintahan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Awang Tengah memberitahu lagi, lebih satu juta hektar kawasan NCR di Sarawak akan disukat, manakala lebih 800,000 hektar telah diwartakan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN, dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Serian dan Samarahan di Dewan Kampung Langui, Kampung Pichin, Serian, hari ini.
Sebanyak enam buah kampung menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN di bawah inisiatif baharu.
Manakala, sebanyak 4 buah kampung menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di bawah Penyukatan NCR Inisiatif Baharu, tiga buah kampung di bawah Penyukatan Kampung Tradisional, 1 buah kampung di bawah Penyukatan Part III Lama, dua kawasan di bawah Penyukatan Part III Kawasan Penyelesaian, empat kawasan di bawah Penyukatan Part III Kawasan Pembangunan Pihak Berkuasa Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) manakala dua buah kampung menerima Lesen Pendudukan Sementara.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang. – TVS