KUCHING, 1 Sept: Pembangunan pelancongan di Sarawak akan terus dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kerajaan negeri menyatakan bahawa ‘Menjelang 2030, Sarawak akan menjadi destinasi utama untuk eko-pelancongan dan acara perniagaan di rantau Asia Tenggara.
Katanya, ia akan didorong oleh komuniti yang diberi kuasa untuk memulihara warisan, budaya, dan biodiversiti serta menggalakkan pelaburan dan pembangunan melalui tindakan yang bertanggungjawab.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Bertanggungjawab (ICRTH ) 2022, hari ini.
Bertemakan ‘menggerakkan pelancongan bertanggungjawab dalam tindakan ke arah kemakmuran ekonomi, inklusiviti sosiobudaya dan kemampanan persekitaran,’ persidangan itu bertujuan untuk memajukan pengetahuan dan amalan pelancongan bertanggungjawab untuk pembangunan mampan.
Abang Johari berkata, sudah tiba masanya semua pihak berkepentingan pelancongan bekerjasama dan menggunakan platform seperti persidangan itu untuk memacu industri pelancongan ke hadapan untuk masa depan yang mampan.
Beliau menambah, penganjuran persidangan itu juga menunjukkan hasrat kuat Sarawak untuk menyertai komuniti pelancongan global dalam menyokong matlamat pembangunan mampan dalam konteks tempatan.
Mengenai persidangan ICRTH yang diadakan, beliau berkata, ia merupakan acara yang menghimpunkan pihak berkepentingan pelancongan dan hospitaliti untuk berkongsi idea dan sumber, selain menjalin rangkaian dan bekerjasama.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim turut mengadakan pertemuan dengan delegasi dari World Tourism Organization (UWTO) dan Pacific Asia Travel Association (PATA) di sini hari ini.
Pertemuan itu antara lain bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama diantara kerajaan Sarawak dengan agensi-agensi pelancongan antarabangsa dalam memacu pembangunan sektor pelancongan Sarawak.
Jalinan kerjasama tersebut dilihat penting bagi merealisasikan hasrat Sarawak untuk menjadi destinasi utama dalam eko-pelancongan dan penganjuran acara perniagaan di rantau asia tenggara menjelang tahun 2030 nanti.
Perjumpaan yang berlangsung selama sejam itu turut disertai delegasi dari Persatuan Eko-Pelancongan Antarabangsa, Bank Pembangunan Asia (ADB), Universiti Wakayama dan beberapa delegasi luar negara lain. – TVS