KUALA LUMPUR, 1 Sept : Pihak pendakwaan hari ini membantah pendakwaan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.
Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak lain.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ‘penghakiman’ bocor yang dirujuk oleh Rosmah pemohon bukanlah penghakiman bertulis.
“Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.
Baca artikel berkaitan:
- 1.Keputusan kes rasuah Rosmah ‘bersalah atau dibebaskan’ diketahui esok
- 2. Keputusan perbicaraan kes Rosmah dijangka diketahui hari ini
- 3. Rosmah tiba di Mahkamah dengar keputusan kes rasuah projek solar
- 4. Rosmah dibawa masuk ke mahkamah menerusi pintu B
Sri Ram berhujah bahawa permohonan itu sepenuhnya berdasarkan kepada keterangan dengar cakap serta niat jahat dan pemohon tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai dan kukuh untuk menyokong tuduhannya yang berat sebelah dan ketidakwajaran kehakiman terhadap Hakim Mohamed Zaini.
“Kami sedia berhujah dan kami membantah sebarang permohonan penangguhan dan penyampaian penghakiman. Jika mereka tidak bersedia, kami minta ia (permohonan) ditolak,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi membalas permohonan peguam Datuk Jagjit Singh supaya menangguhkan prosiding permohonan itu kerana mereka memerlukan lebih masa untuk mengumpul fakta.
Peguam itu membangkitkan perkara tersebut ketika prosiding bermula pada 9.28 pagi.
Jagjit juga berkata pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab afidavit disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantah permohonan Rosmah.
Hakim berkata pihak pembelaan telah memfailkan sijil perakuan segera biasanya bermakna perkara itu harus didengar secepat mungkin.
“Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum hari Merdeka, saya telah mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini,” katanya.
Hakim bertanya kepada pihak pembelaan idea siapa permohonan itu difailkan dan Jagjit menjawab, “Kami bertindak atas arahan.”
“Kamu mahu (prosiding) permohonan itu ditangguhkan ke hari lain? Permohonan ini akan bersifat akademik selepas saya menyampaikan keputusan saya,” kata hakim.
Beliau juga mengambil maklum dakwaan dalam permohonan agar beliau menarik diri itu berkaitan kononnya penghakiman ditulis oleh pihak ketiga bagi pihaknya.
Bagaimanapun, hakim itu berkata beliau seorang sahaja yang akan menjawab perkara itu dan meminta pihak pembelaan berhujah mengenai permohonan tersebut sebelum menangguhkan prosiding itu.
“Saya akan tunggu. Beritahu saya apabila sudah bersedia,” katanya.
Hakim dijadual menyampaikan keputusan kes itu hari ini. -TVS