Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Limbang bakal dihubungkan dengan dunia luar melalui tiga projek mega rangkaian jalan raya di bawah selenggaraan kerajaan persekutuan, selain pembangunan prasarana asas lain yang sedang rancak dijalankan, kata Dr Abdul Rahman. Foto: TVS

Pembinaan infrastruktur jalan raya Limbang terus diperhebatkan

LIMBANG, 2 Sept : Limbang bakal dihubungkan dengan dunia luar melalui tiga projek mega rangkaian jalan raya di bawah selenggaraan kerajaan persekutuan, selain pembangunan prasarana asas lain yang sedang rancak dijalankan.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata projek yang dijangka siap menjelang tahun 2030 itu nanti sudah pasti akan meningkatkan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitar.

“Projek ini dijangka bermula pada tahun depan dan pembinaan jalan raya tersebut akan memakan masa, tetapi saya juga yakin menjelang 2030, rangkaian jalan raya di Limbang akan lengkap sekaligus dengan kemudahan asas lain,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM7 bilion bagi pembinaan projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR).

“Ia telah diumumkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk bermula tahun hadapan dan memakan perbelanjaan yang secara keseluruhannya RM7 bilion dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Yang selalu menjadi permintaan pertama rakyat adalah jalan yang menghubungkan Limbang ke Miri dan Lawas tanpa perlu melalui negara Brunei Darussalam, dan fasa pertama Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) telah pun bermula manakala fasa kedua yang menghubungkan Lawas, Limbang dan Miri sudah pun diluluskan pada peringkat reka bentuk,” ujarnya lagi.

Projek itu, kata Dr Abdul Rahman, melibatkan seksyen di daerah Limbang bermula dari Tedungan hingga Pandaruan dan seksyen di daerah Lawas dari Mengkalap hingga Merapok.

Selain itu, kerajaan Sarawak turut melaksanakan projek lebuh raya pesisir utara melibatkan kawasan pesisir di daerah ini yang dijangka bermula pada tahun depan.

“Satu lagi projek dinamakan ‘Northern Coastal Highway’ ataupun Lebuh Raya Pesisir Utara di bawah kerajaan negeri ini juga dalam peringkat reka bentuk.

“Lebuh raya ini akan melintasi pesisir batang sungai, termasuk di Kampung Gadong, yang akan keluar dari jambatan kedua Sungai Limbang dan dalam ‘Northern Coastal Highway’ yang akan meliputi dua buah jambatan lagi.

“Jadi apabila siap di Sungai Limbang ini, akan ada lagi lim buah jambatan, iaitu empat di kawasan bawah dan satu di Medamit, dan projek ini insyaAllah dijangka akan bermula tahun depan.

“Saya yakin menjelang tahun 2030, rangkaian jalan raya di Limbang akan lengkap. Begitu juga dengan kemudahan asas lain,” tambahnya lagi

Pelbagai pembangunan telah dinikmati penduduk di Sarawak sejak kemerdekaan dan ia akan terus dilaksanakan.

Ini menunjukkan kerajaan Sarawak ingin meneruskan momentum dan melonjakkan pembangunan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Malah, Limbang juga tidak akan dipinggirkan, dan pelbagai pembangunan dari aspek pendidikan, perubatan, keselamatan infrastruktur asas seperti jalan raya dan sebagainya serta ekonomi akan dilaksanakan dengan lebih hebat lagi.

Bagaimanapun, Dr Abdul Rahman tidak menafikan segala usaha pembangunan yang dirancang memerlukan masa, kerjasama dan sokongan berterusan daripada penduduk tempatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan